Friday 30 September 2011

Pencemaran Sungai di Negara Kita



Pencemaran Sungai Masih Serius
      Setelah enam tahun kempen ''Cintai Sungai Kita'' dilancarkan, pencemaran di sungai-sungai di negara ini masih menjadi masalah yang serius. Di kebanyakan negeri, sungai-sungainya terus meningkat pencemarannya oleh aktiviti perindustrian dan sisa-sisa buangan. Indeks Kualiti Air di kebanyakan sungai-sungai didaftarkan di bawah bacaan. Contoh air dari sungai-sungai mengikut indeks kualiti air antara 0 dan 60 diklasifikasikan sebagai tercemar, di antara 60 dan 80 sedikit tercemar, dan lebih dari 80 dianggap bersih. 
     Baru-baru ini,  pihak kerajaan negeri Johor telah menubuhkan Panel Khas untuk mengawasi pencemaran sungai di negeri berkenaan selepas indeks kualiti air di 16 sungai menunjukkan jatuh dari 73 dalam tahun 1996 kepada 63 tahun lalu. 
     Penubuhan Panel Khas tersebut di bawah Jabatan Pengairan dan Perparitan Negeri untuk mengawasi pencemaran sungai adalah merupakan satu langkah yang betul dan wajar. Adalah diharapkan negeri-negeri yang belum menubuhkan panel seumpama ini akan mencontohi langkah kerajaan negeri Johor menangani masalah pencemaran sungai. Hakikat bahawa masih terdapat sungai-sungai dan longkang-longkang kita masih tercemar sungguhpun beberapa kempen ''Cintai Sungai Kita'' telah dijalankan, membayangkan kekurangan sikap dan tanggungjawab sivik orang ramai termasuk pengusaha-pengusaha industri.
    Banyak orang yang  masih menjadikan sungai-sungai dan longkang-longkang sebagai tempat membuang sampah dan tidak mengamalkan kebersihan dan perlindungan alam sekitar. 
     Oleh itu, tidak hairanlah jika kita melihat pelbagai jenis sampah dan bahan-bahan sisa buangan yang dikutip dari sungai. Pembuangan sampah-sarap secara tidak bertanggungjawab telah mengakibatkan longkang-longkang di bandar-bandar tersumbat dengan sampah dan menjadikan banjir kilat apabila hujan lebat. 
      Pembuangan sampah-sarap adalah merupakan faktor utama menyebabkan longkang-longkang tersumbat dan sungai yang kotor.  Adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk tidak mengamalkan tabiat buruk berkenaan.
    Kepada mereka yang selalu bersikap melanggar undang-undang, mereka perlu dihukum bukan sahaja dengan denda maksimum tetapi melalui khidmat masyarakat secara mandatori. 
      Di samping kita ingin melihat orang ramai berhenti daripada mengamalkan tabiat membuang sampah merata-rata tempat, pihak berkuasa tempatan juga perlu menyediakan penyelenggaraan rutin di sungai-sungai dan longkang-longkang. Longkang-longkang di bandar raya perlu dipertingkatkan bagi menampung penggunaannya akibat dari pembangunan pesat.
     Kita bukan sahaja perlu menjaga sungai dan longkang-longkang tetapi juga kualiti udara. Debu dan ''sulphur dioksid'' didapati berada di paras udara yang membimbangkan, terutama di Lembah Klang dan akan memburukkan lagi jika keadaan kualiti udara sekarang tidak sentiasa diawasi dan dilindungi.
    Kenderaan merupakan penyebab utama pencemaran udara di Lembah Klang. Asap daripada kenderaan ini menjadi punca kepada pengeluaran kepada hampir 100 peratus hidrokarbon dan karbon monoksida sementara 67 peratus adalah nitrogen dioksida di dalam udara. 
     Memandangkan perkara-perkara di atas, kerajaan seharusnya melaksanakan pelan Bertindak Udara Bersih tanpa berlengah-lengah lagi, di samping itu orang ramai mesti memahami akan pentingnya melindungi kualiti udara daripada pencemaran melalui usaha individu dan semua pihak.

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More