Friday, 30 September 2011

Sungai Semantan 'hidupkan' Selangor

KEMPEN HARGAI AIR

Wednesday, January 12, 2011


http://hargaiair.blogspot.com/2011/01/rencana-kosmo-sungai-semantan-hidupkan.html 



KEHIDUPAN selama beberapa bulan tanpa bekalan air di rumah membuatkan keluarga Mohd. Zuki Yazid, 34 dan isterinya, Normah Abdul Razak, 33, terpaksa mengambil air bukit di Sungai Long, Kajang, Selangor yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumahnya.

Bekalan air ke rumah mereka telah dipotong beberapa bulan lalu kerana kesempitan hidup akibat kemalangan yang menimpa anak keduanya kira-kira lima tahun lepas.

Normah dan suaminya akan pergi ke bukit berkenaan untuk mengambil air setiap hari sejak bekalan air ke rumahnya dipotong.

“Bagi saya dan keluarga biarlah tiada elektrik daripada tiada air kerana air lebih penting untuk menguruskan kehidupan seharian. Air merupakan keperluan asas kepada kita untuk melakukan segala aktiviti seharian,” katanya.

Namun atas keprihatinan pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dia diberi air percuma selama enam bulan melalui program Tabung Budi.

“Saya bersyukur sangat kerana keluarga kami terpilih untuk menyertai program tersebut. Keluarga kami akan menggunakan air dengan cermat dan tidak membazir kerana menyedari betapa berharga air untuk kami meneruskan kehidupan,” tambahnya.

Masalah yang dihadapi Mohd. Zuki dan Normah mungkin salah satu contoh kecil pengurusan air kediaman yang boleh memburuk dan menjadi isu yang lebih besar.

Daripada sebuah masalah keluarga yang tidak berkemampuan, kehilangan sumber utama itu boleh menjadi krisis yang lebih dahsyat. Kekontangan bekalan air mampu mencetus ketidakselesaan komuniti, melumpuhkan mekanisme perniagaan dan industri serta menjejas psikologi sosial.
MESIN NATM yang berfungsi menggerudi batu sepanjang projek PPAMPS.

Terpanjang di Asia Tenggara

Dalam senario terkini, faktor kepentingan air kepada penduduk dan kekurangan punca sumber air mentah di negeri Selangor pada masa depan telah mendorong kerajaan mengambil keputusan untuk menyegerakan pelaksanaan pembinaan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang - Selangor (PPAMPS).

Projek itu melibatkan dua fasa utama iaitu pertama, pembekalan air mentah dari Pahang ke Selangor termasuk terowong bawah tanah antara Karak di Pahang dan Hulu Langat di Selangor, serta kedua, pembinaan loji rawatan air di Hulu Langat.

Projek berimpak tinggi yang bernilai RM3.936 bilion itu dijangka siap pada tahun 2014. Apabila projek itu siap nanti terowong itu akan menjadi terowong air mentah terpanjang di Asia Tenggara dan yang keenam di dunia.

Pelaburan besar negara ke atas projek yang mengambil masa kira-kira empat tahun lagi itu penting kerana air merupakan keperluan penduduk.

Bagi Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, ketiadaan sumber air merupakan satu isu yang berat kepada pengguna.

Katanya, projek penyaluran air mentah dari Pahang itu akan memberikan impak yang positif kepada pengguna apabila ia siap kelak.

“Usaha yang dilakukan kerajaan itu sangat bermanfaat memandangkan bekalan air bersih amat penting untuk segenap lapisan masyarakat. Masyarakat Islam misalnya, memerlukannya untuk berwuduk, bersuci dan sebagainya,” ujar beliau.

Tambah Nadzim, pada masa yang sama, masyarakat perlu dididik untuk bertindak sebagai pengguna air yang berhemah.

“Kita perlu menghargai air kerana sebanyak manapun air itu disalirkan, jika ia tidak digunakan dengan sebaik mungkin, ia akan habis juga,” kata beliau.

TBM yang dibeli dari Amerika Syarikat mengorek laluan bawah tanah untuk saluran air.

Punca air

Menurut Pengarah Projek PPAMPS, Datuk Ir. Ismail Mat Noor projek tersebut bertujuan untuk menyalurkan air mentah dari Sungai Semantan di Pahang ke Hulu Langat, Selangor.

Jelas beliau, Sungai Semantan dipilih sebagai sumber untuk menyalurkan air ke Selangor kerana keupayaan sungai tersebut membekalkan air.

“Sungai Semantan merupakan sungai yang berpunca dari tiga sungai yang lain seperti Sungai Telemung, Sungai Kelau dan Sungai Bentong. Namun, untuk persediaan awal jika berlaku sebarang kemungkinan kami juga akan membina sebuah empangan di Kelau,” ujar Ismail.

Jelasnya, empangan di Kelau itu bertujuan untuk menyimpan air mentah untuk dibekalkan ke Selangor.

“Misal kata air di Sungai Semantan mengalami kemarau dan kekurangan air. Air dari empangan itu akan dilepaskan ke dalam terowong tersebut. Itu merupakan persediaan yang dibuat untuk menampung air jika kekurangan air di sungai itu,” ujar beliau.

Selain itu, Sungai Semantan turut dipilih kerana faktor kebersihan dan kualiti airnya yang masih boleh dirawat dengan mudah.

“Boleh dikatakan kebanyakan sungai di Pahang mempunyai kualiti air yang baik termasuklah Sungai Pahang.

Demi untuk menjayakan penyaluran air itu nanti mengikut masa yang ditetapkan, empat komponen utama terdiri daripada terowong penyaluran air, empangan Muka Sauk dan empangan Kelau, saliran paip berkembar dan Stesen Pam Air Semantan.

Terowong air mentah itu berkeupayaan membekalkan air mentah sebanyak 1,890 liter air sehari apabila siap kelak.

Teknologi canggih PPAMPS

Dengan status projek mega beberapa mesin berteknologi tinggi digunakan dalam proses untuk menyiapkan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor (PPAMPS).

Antara mesin yang berkhidmat dengan PPAMPS sehingga projek itu selesai ialah beberapa buah Tunnel Boring Machine (TBM), New Austrian Tunneling Method (NATM) dan Conduit.

Setiap mesin atau kaedah yang digunakan itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Pada 29 November yang lalu, TBM3 telah memulakan operasinya untuk mengorek terowong bawah tanah sejauh 11.2 kilometer (km).

Ismail berkata, projek terowong itu sahaja bernilai RM1.3 bilion bakal menyalurkan air mentah dalam lima tahun lagi.

Menurutnya, TBM3 atau juga dikenali sebagai Tiara Midori, melakukan kerja-kerja mengorek bersama dua lagi mesin pengorek iaitu Kamila (TBM1) dan Selpah (TBM2).

“Mesin pengorek Tiara Midori yang panjangnya 205 meter akan mengorek sejauh 11.2 kilometer dari sini (Semantan) dan ia mampu mengorek sejauh 1,000 meter setiap bulan.

“Mesin Tiara Midori akan beroperasi 24 jam menggunakan tenaga kerja sebanyak 20 orang untuk satu-satu syif,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya turut melakukan beberapa persediaan sebelum kerja mengorek bermula seperti menyelidik jenis batu.

“Jika batu jenis keras kita tidak perlu melakukan forepoling. Forepoling merujuk kepada teknik untuk menahan tanah atau batu dari runtuh di kawasan yang tidak kukuh,” jelasnya.
ISMAIL (kiri) menunjukkan replika TBM yang digunakan dalam proses menyiapkan terowong PPAMPS

Berdasarkan kajian awal, katanya, kira-kira 90 peratus dari kawasan yang bakal dikorek ialah kawasan berbatu keras.

Jelas Ismail untuk kawasan berbatu, pihaknya menggunakan mesin yang dikenali sebagai New Austrian Tunneling (NATM) beberapa meter sebelum TBM memulakan tugasnya.

“NATM adalah satu kaedah dimana satu mesin akan menggerudi batu di kawasan tersebut.

“Dalam projek ini, kaedah NATM hanya digunakan di Inlet (air masuk) dan Outlet (air keluar) terowong sahaja,” katanya.

Projek yang dijangka siap pada bulan Jun 2014 itu akan menyalurkan air mentah sebanyak 1,890 juta liter sehari.

Sebanyak empat syarikat terlibat dalam usaha sama itu seperti IJM Corp. Bhd., UEM Builders Bhd. Shimizu Co rporation dan Nishimatsu Construction Co. Ltd.

Projek itu diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memenuhi keperluan bekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

sumber : KOSMO ONLINE 10 JANUARI 2011

0 comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More